Kenali Sistem Raja Berperlembagaan

KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA


     Institusi Raja Berperlembagaan merupakan "Check and Balance" bagi sistem Demokrasi Berparlimen yang merupakan sistem pentadbiran di Malaysia. Kita semua tahu akan sistem ini akan tetapi tidak semua memahami apa sebenarnya tugas dan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong? Adakah baginda hanyalah simbol perpaduan dan kedaulatan negara semata-mata? Mari kita lihat.

     Raja Berperlembagaan bermaksud sistem beraja mengikut perlembagaan. Yang di-Pertuan Agong (YDPA) bertindak menurut nasihat Jemaah Menteri, manakala raja sesebuah negeri pula bertindak mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO). YDPA ialah Ketua Negara, manakala Perdana Menteri ialah Ketua Kerajaan yang menjalankan pentadbiran negera. Di Peringkat Negeri pula, Sultan/ Yang di-Pertuan Negeri ialah Ketua Negeri, manakala Menteri Besar/ Ketua Menteri ialah Ketua Kerajaan Negeri.


Perkara 32 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa: "...

Maka hendaklah ada seorang Kepala Utama Negara bagi Persekutuan digelarkan Yang di-Pertuan Agong, yang mengambil keutamaan mengatasi segala orang dalam Persekutuan dan yang tidak boleh didakwa dalam apa-apa jua pembicaraan dalam mana-mana mahkamah kecuali dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian 15.

Jadi terdapat beberapa perkara yang kita perlu ketahui tentang Yang di-Pertuan Agong secara ringkasnya:

  • Pelantikan YDPA adalah setiap 5 tahun bagi 1 penggal mengikut giliran raja yang telah ditetapkan oleh Majlis Raja-Raja.
  • Baginda mempunyai bidang kuasa yang luas dan memegang 3 kuasa tertinggi dalam menjalankan fungsi dan peranan dalam Eksekutif, Perundangan, dan Kehakiman;

1. KUASA EKSEKUTIF (PENTADBIRAN)
YDPA mengikut budi bicara dalam melaksanakan 3 tugas berikut:
  • Melantik seorang Perdana Menteri.
  • Tidak mempersetujui permintaan untuk membubarkan Parlimen.
  • Meminta mesyuarat Majlis Raja-Raja diadakan semata-mata untuk membincangkan Kesitimewaan, Kedudukan, Kemuliaan, dan Kebesaran raja serta mengambil tindakan dalam mesyuarat tersebut.

2. KUASA LEGISLATIF (PERUNDANGAN)
YDPA sebagai sebahagian komponen Parlimen mempunyai kuasa berikut:
  • Memanggil Parlimen bermesyuarat dari semasa ke semasa.
  • Memberhentikan dan mempersetujui pembubaran Parlimen.
  • Memberi ucapan dalam mana-mana Majlis Parlimen.
  • Memperkenankan Rang Undang-undang.
Jika Rang Undang-undang tersebut tidak diperkenankan selama tempoh 30 hari, maka akan automatik menjadi undang-undang.

YDPA juga mempunyai kuasa melantik 40 orang Senator Dewan Negara yang mana 2 diantaranya dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan seorang masing-masing dari Putrajaya dan Labuan.

3. KUASA JUDISIARI (KEHAKIMAN)
YDPA bertanggungjawab dalam:
  • Melantik Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan dan beberapa orang hakim mahkamah atasan; Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Malaya, Sabah, dan Sarawak, Hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi. Mereka dilantik adalah atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.
  • Melantik Hakim Mahkamah Tinggi untuk menjadi Pesuruhjaya Kehakiman atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Ketua Hakim Negara.
  • Memanjangkan perkhidmatan seorang Hakim berumur 66 tahun tidak melebihi 6 bulan. 
  • Hanya boleh menyingkirkan seseorang Hakim setelah menerima representasi atau laporan syor tribunal oleh Perdana Menteri atau Ketua Hakim Negara.                      


Terdapat juga kuasa-kuasa lain YDPA;
  1. Berdasarkan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, YDPA boleh mengisytihar darurat.
  2. Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa, YDPA merupakan Ketua Agama Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja: Melaka, Pulau Pinang, Sabah, dan Sarawak.
  3. Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata.
  4. Mempunyai kuasa mengurniakan pengampunan dan menangguhkan hukuman bagi kesalahan yang dibicarakan di Mahkamah Tentera dan semua kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan, serta Mahkamah Syariah bagi negeri tak beraja.
  5. Menjaga hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak, serta dalam masa yang sama tidak meminggirkan kaum bukan Melayu.
  6. Melantik diplomat Malaysia di luar negara dan menerima mengadap diplomat asing.
  7. Melantik Ketua Audit Negara setelah mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja.

PERKARA 34 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN (LARANGAN)

1. YDPA tidak boleh menjalankan tugasnya sebagai Raja Negeri kecuali:
  • Tugas-tugasnya sebagai Ketua Agama Islam.
  • Meminda Perlembagaan Negerinya; atau
  • Melantik seorang Pemangku Raja atau ahli Jemaah Pemangku Raja
2. Memegang apa-apa jawatan yang boleh mendatangkan apa-apa saraan (gaji).
3. Mengambil bahagian dengan giat dalam perniagaan.
4. Meninggalkan Persekutuan lebih 15 hari, kecuali atas lawatan negara ke sesebuah negara 
    lain (tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja).
5. Segala prosiding terhadap raja atau prosiding yang dibawa oleh raja atas sifat-sifat 
    peribadi, maka perlu dibawa ke Mahkamah Khas Raja-Raja (tidak boleh dibicarakan di 
    mahkamah biasa) dengan keizinan Peguam Negara.


KEAHLIAN DALAM MAJLIS RAJA-RAJA

YDPA bukan Ahli Majlis Raja-Raja. Kerana itu, baginda berangkat menghadiri mesyuarat pada hari ke-2 sebagai Ketua Negara Malaysia dan diiringi oleh Perdana Menteri sebagai penasihat baginda.


Jelas disini bahawa Yang di-Pertuan Agong bukanlah simbol perpaduan dan kedaulatan negara semata-mata, akan tetapi menjadi penaung kepada kerajaan kerana institusi Yang di-Pertuan Agong merupakan institusi yang bebas daripada pengaruh politik (Kepartian). Ini menunjukkan bahawa amat penting bagi Rakyat Malaysia mempertahankan dan menghormati sistem beraja di Malaysia supaya tidak dikotori dengan ideologi yang boleh memusnahkan institusi tersebut. 

Comments

Popular posts from this blog

Masyarakat Dan Budaya, Apa Kaitannya?

Konsep & Ciri Negara Berdaulat